News Cuttings

Monday, December 08, 2003

Isu Perbalahan Menteri Dengan BPR

PM, Peguam Negara temui menteri, BPR hari ini
Oleh: ASUKI ABAS
Utusan Malaysia 8/12/2003
PUTRAJAYA 7 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bertemu dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan menteri-menteri yang tidak berpuas hati dengan badan itu bagi mengelakkan keraguan rakyat terhadap kewibawaan agensi berkenaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia hari ini berkata, beliau juga mahu bertemu dengan BPR esok bagi membincangkan isu tuduh-menuduh itu. Langkah proaktif Perdana Menteri dan Abdul Gani itu diambil berikutan memuncaknya `perang mulut' antara kedua-dua pihak tersebut.

Terbaru hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi amaran kepada BPR supaya tidak menggunakan ugutan dan pendekatan ala samseng dalam menyelesaikan kes mereka.

Menurut Nazri, kenyataan Pengarah Siasatan BPR, Datuk Nordin Ismail bahawa agensi itu akan mengeluarkan waran tangkap ke atas saksi termasuk menteri yang enggan hadir memberi keterangan merupakan satu ugutan terutama kepada menteri-menteri Kabinet.

``Saya hendak beri amaran kepada Nordin, jangan ulangi ugutan terhadap menteri atau sesiapa.

``Dia (Nordin) seorang pegawai kerajaan dan dalam struktur kerajaan, jemaah menteri merupakan yang tertinggi dalam kerajaan.

``Jadi tidak betul jika seseorang (pegawai kerajaan) itu ugut ahli jemaah menteri yang merupakan majikan mereka,'' kata Nazri pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abdullah, pertemuan itu penting bagi membetulkan kekeliruan mengenai siasatan BPR sebelum ia menimbulkan keraguan rakyat.

``Bila jadi banyak sangat cerita dalam surat khabar, bermacam-macam reaksi timbul.

``Jadi eloklah sekiranya saya cakap dengan pihak-pihak yang berkenaan supaya tidak ada lagi keraguan dalam hal ini.

``Saya rasa saya memperakui keperluan yang mendesak daripada kedua-dua pihak (mengenai kes masing-masing),'' katanya pada sidang akhbar selepas hadir ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini mengenai kenyataan Nordin bahawa BPR akan meminta polis mengeluarkan waran tangkap ke atas saksi termasuk menteri yang enggan memberi keterangan walaupun diminta berbuat demikian dalam siasatan kes-kes rasuah.

Nordin ketika itu mengulas rungutan Nazri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid berhubung kelewatan BPR menyiasat dakwaan rasuah yang membabitkan kedua-duanya sebagai saksi.

Nazri mempersoalkan kelewatan BPR menjalankan siasatan mengenai dakwaan individu memiliki 6,000 permit teksi yang telah melebihi tiga bulan sehingga beliau dipandang serong oleh masyarakat.

Ketika dihubungi, BPR kemudian menyatakan akan mengambil keterangan Nazri Rabu ini.

Semalam, Nazri sekali lagi memberi tempoh kepada BPR sehingga akhir bulan ini untuk menyelesaikan siasatan tersebut.

Azmi pula mempersoalkan kelewatan BPR menyiasat penyelewengan wang RM6 juta oleh beberapa agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sehingga kini walaupun laporan mengenainya dibuat sejak dua tahun lepas.

Gani ketika dihubungi berkata: ``Saya akan memastikan jika terdapat sebarang kelewatan ia perlulah disertai dengan alasan yang kukuh kerana sebarang kelewatan boleh mengundang kepada ketidakadilan.

``Sebagai penjawat awam sudah menjadi tanggungjawab dalam memastikan semua pihak yang terbabit termasuklah orang ramai berasa gembira dengan setiap tugas yang dilaksanakan.''

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh mengulas secara lanjut pertikaian antara kedua-dua pihak berasaskan kenyataan mereka kepada akhbar sahaja.

``(Namun) saya sendiri menyatakan bahawa BPR perlu segerakan siasatan terhadap kes-kes yang dalam siasatan mereka supaya kes-kes itu dapat diselesaikan segera, supaya tidak ada nanti apa-apa keraguan atau salah interpretasi tentang bagaimanakah BPR menjalankan siasatan mereka.

``Dan kalau ada apa-apa keraguan biarlah saya bertemu dengan mereka,'' ujar Perdana Menteri.

Nazri pula mendakwa, kenyataan Nordin menunjukkan badan itu mengamalkan sikap gengsterisme dalam menyelesaikan kes mereka.

``Itu sebabnya BPR tidak boleh jalankan tugas dengan baik, dengan cara ini mereka akan dapatkan kenyataan melalui ugutan dan paksaan. Sebab itu kes BPR banyak kalah di mahkamah,'' katanya.

Kata beliau, pihak kementeriannya tidak pernah mengatakan apa yang dibuat oleh BPR salah sebaliknya hanya meminta supaya siasatan dipercepatkan bagi membersihkan imej kerajaan.

Malah, katanya, beliau memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk BPR membentangkan hasil siasatan mereka berhubung kes 6,000 permit teksi yang dikatakan diberikan kepada satu individu melalui 19 syarikat.

Katanya, jika BPR gagal berbuat demikian maka pada Januari ini beliau akan mempamerkan senarai syarikat bersama nama pemilik serta ahli lembaga pengarah yang telah diberikan permit teksi.

Menurut beliau, sudah empat bulan perkara itu diserahkan kepada BPR tetapi sampai sekarang tidak ada hasil dan rakyat anggap perkara itu berlaku dan tidak diambil tindakan.

``Kalau ada, kata ada. Kalau tidak, kata tidak. Susah sangat kah?

``Akibatnya sekarang orang beri pandangan serong kepada kerajaan disebabkan BPR tidak buat kerja.

``Tak kan hendak tunggu sampai pilihan raya? Saya kena dedahkan perkara ini sebelum pilihan raya. Kerajaan yang akan berhadapan dengan pilihan raya,'' katanya.

Beliau berkata, disebabkan BPR lambat menjalankan siasatan maka rakyat kini beranggapan Kementerian Pembangunan Usahawan termasuk beliau, Lembaga Pelesenan Kenderaan Persekutuan (LPKP) dan kerajaan melakukan kesalahan rasuah.

Malah, beliau turut mempersoalkan sikap tidak profesional BPR dalam menjalankan siasatan kerana bertanya soalan yang tidak relevan kepada saksi di samping taktik-taktik berbentuk ugutan.

``Bila ugut, pengakuan dapat secara paksa dan apabila pergi ke mahkamah, kalah,'' katanya.

Nazri memberitahu bahawa beliau akan membangkitkan perkara berhubung kenyataan Nordin itu pada mesyuarat mingguan Kabinet Rabu ini supaya Nordin dikeluarkan daripada barisan siasatan kes permit teksi itu kerana beliau sudah menunjukkan kecenderungan untuk memihak dan tidak boleh berlaku adil.

Katanya, niat beliau ialah untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut dan bukannya untuk berkonfrontasi dengan mana-mana pihak dalam BPR.

Menurut Nazri, beliau sedia bekerjasama dengan BPR bila-bila masa bagi menyelesaikan isu itu dan akan memberi keterangan kepada badan itu di pejabatnya Rabu ini selepas mesyuarat mingguan Kabinet.'